Wednesday, February 12, 2014

Makcik Gigi Palsu

Aku masih teringat nostalgia menarik semasaku di perantauan. Walaupun kisah ini telah berlalu lebih 20 tahun yang lalu, namun kenangan ini masih segar dalam ingatan dan sentiasa aku kongsikan dalam setiap siri kuliah dan ceramah motivasiku. 

Posting pertamaku selepas menamatkan Diploma Pendidikan ke sebuah daerah di Sarawak menuntutku agar bersedia dari aspek mental dan spiritual. Al-hamdulillah sepanjang di sana, banyak pengalaman dapat kutimba bersama masyarakat. Dari Imam dan wirid selepas solat berjemaah hinggalah ke tahlil arwah. Dari khutbah Jumaat hinggalah ke khutbah Hari Raya. Dari majlis bercukur dan aqiqah hinggalah ke majlis sembelihan korban. Pendek kata semuanya aku rasai dan lalui kecuali pengalaman menjadi Wali Hakim dan mengurus jenazah. Wali Hakim kan, perlukan tauliah! manakala mengurus jenazah pula, memang dah ada kumpulan di kampung tu yang menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan kematian termasukah membaca talkin di kuburan. Aku bernasib baik kerana masyarakat memang memerlukan ‘ustaz’ dalam kehidupan mereka.

Aku terima tanggungjawab itu dengan penuh berlapang dada. Bagiku itulah tempat untukku menimba pengalaman sebanyak mungkin. Kalau aku dipostingkan ke kampung halamanku sendiri, mungkin pengalaman itu tidak akan dapat kukecapi. Malah mungkin guruku masih ada dan mampu menyumbang tenaga untuk masyarakatku ketika itu. Maka masa bilakah aku boleh ‘mengasah’ bakat terpendam ini. Aku harap semangat seumpama ini ada dalam kalangan guru-guru khususnya ustaz-ustaz muda masa kini.

Di tempat aku dipostingkan, aku cukup rapat dengan masyarakat. Di samping mengajar di sekolah menengah di sana, di masa lapangku, aku membantu sekumpulan kaum ibu mengaji al-Quran. Dalam kumpulan tersebut adalah tiga empat orang kaum ibu yang begitu komitmen mengaji al-Quran bersamaku. Setiap minggu mereka mengaji dua malam bersamaku di masjid selepas Solat Isyak. Dalam umur sekitar 60-an sudah pastilah wujud sedikit kepayahan dalam menjalani proses pengajian tersebut. Aku gagahi diriku membimbing mereka dengan harapan tinggi agar mereka akhirnya nanti mampu membaca al-Quran dengan baik.

“Makcik ni ustad, jangankan nak baca al-Quran, nak baca Surah Yasin pun sik pande (tak pandai),” kata mak cik yang berbaju kuning dan berkaca mata. Beliau adalah antara kaum ibu yang berpengaruh di kampung tersebut.

“Habis, saya tengok makcik bukak Surah Yasin dan baca tu?” Aku cuba menguji mereka.

Ya pegang jak ustad, ikut jak bacaan dioghangMana taupun hughuf apa”, celah mak cik di sebelahnya dengan ikhlas. Mak cik yang berbadan agak gempal inilah yang mengepalai kumpulan mengaji ini. Beliau memang bersungguh-sungguh mengumpul ahli untuk mengaji al-Quran.

“Itulah sebabnya kamek-kamek tok caghik kitak untuk mengaji ni.” Sampuk seorang lagi mak cik yang nampak pendiam sejak tadi. Beliau memberanikan diri bersuara namun dalam keadaan tunduk tersipu-sipu . Manakala mak cik yang satu-satunya bertudung labuh hanya mendiamkan diri sambil tersenyum.

Aku memandang mereka dengan sayu dan terasa amat terharu atas kesungguhan dan keinginan mereka mengaji al-Quran walau di usia yang agak lanjut. Semangat beginilah sepatutnya kuterapkan ke dalam hati dan sanubari anak muridku. Aku berazam untuk membuktikan bahawa usia mereka bukan penghalang untuk mereka menguasai al-Quran.

Sesi pengajian al-Quran berjalan seperti biasa. Seingatku hari itu merupakan minggu ketiga kelas pengajian mereka. Seusai solat sunat selepas Isya’, semua ahli kumpulan pengajian al-Quran ini mengambil tempat di sudut belakang masjid yang agak besar tersebut. Sudah bersiap dengan kitab dan catatan masing-masing dengan penuh semangat menanti kedatanganku. Buku Iqra’ satu kubimbitkan di tangan sebagai panduan dalam sesi pengajian berkenaan.

Pengajian hari itu masih berkisar tentang mengenal huruf dan memperkemaskan sebutan makhrajnya. Aku amat menitikberatkan soal makhraj huruf. Bagiku, sesiapa yang dapat menguasai makhraj huruf dengan baik, dia telah meguasai sekurang-kurangnya 60 peratus pembacaan al-Quran.

“Hari ini kita sambung pengajian kita dengan melihat makhraj huruf seterusnya iaitu Hujung lidah di bawah gigi kacip atas. Contoh hurufnya ialah Huruf Dzal, Tha dan Dzho.” Ujarku bagi memulakan bicara di malam itu selepas membukanya dengan al-Fatihah.

Aku menghuraikan kaedah menyebut ketiga-tiga huruf itu dengan betul dari aspek makhraj dan sifatnya. Dengan mengambil satu contoh perkataan, aku melanjutkan pengajian, “alladzi,” kataku sambil menunjukkan gerak mulut dan lidah yang betul.

“Kalau sebut “alladzi”, mesti nampak gigi….  hujung lidah di bawah gigi kacip atas,”tambahku dengan bersungguh-sungguh. Semua ahli kumpulan mengajipun mencuba-cuba perkataan “alladzi”dengan membetulkan kedudukan lidah dan gigi masing-masing.

“Cuba mak cik sebut “alladzi”,” pintaku kepada Mak Cik berbadan agak gempal.

alladzi”, ulangnya dengan malu-malu. “Bagus…, alhamdulillah betullah tu,” pujiku atas kesungguhannya menyebut perkataan itu.

“Ha… mak cik pulak?” pintaku kepada mak cik berkaca mata. Hari itu beliau memakai jubah hitam bertudung biru gelap.

alladzi”, tuturnya dengan selamba. “al-Hamdulillah… betul tu”, balasku dengan mengangkat ibu jari kanan sambil membetulkan sedikit kedudukan lidahnya agar tidak terlalu terkeluar ke hadapan dan mengulangnya beberapa kali.

“Macam mana pulak dengan mak cik?” ujarku sambil merujuk kepada mak cik yang agak pendiam dan malu-malu sejak dari tadi. “alladzi”, sambutnya dengan perlahan sambil tunduk. 

Aku dengar agak pelik cara sebutannya. “Kamek sik nangga gigi kitak?” tegurku dalam bahasa Melayu Sarawak yang bermaksud “saya tak nampak gigi awak (mak cik)”. “alladzi,” ulangku kepadanya dengan menunjukkan cara sebutan yang betul. “Cobak sekali lagi,” ulangku.

alladzi”, beliau mengulanginya lagi sambil sedikit mendongakkan mukanya, aku lihat bibir atasnya diturunkan menutupi giginya dan lidah di bawah bibir atas. Aku tetap tidak berpuas hati dengan sebutannya dan menegaskan bahawa lidah perlu diletakkan di bawah gigi kacip atas.

Setelah dua tiga kali mengulang dengan cara yang sama, beliau menegaskan, “Cam ni kitak mauk nanga gigi kamek…. Nang sik ada gigi,”(macam mana kamu nak tengok gigi saya… memang tak ada gigi), tegasnya sambil menunjukkan sebaris gusi hadapan yang lompong tanpa sebatang gigipun. Rasa geli hatiku kutahan sepenuhnya di dalam hati.

“Sik hal…, mun sik ada gigi, gusipun gusilah, asalkan “alladzi”…,”(Tak jadi masalah… kalau tak ada gigi, gusi pun gusilah asalkan alladzi), sambil tersenyum aku meyakinkan beliau agar tetap meneruskan sebutan perkataan berkenaan.

alladzi”, ulangnya dengan meletakkan hujung lidahnya pada barisan gusi atasnya.

“al-Hamdulillah….. kamek nanga gusi kitak!!! (Al-hamdulillah… Saya nampak gusi kamu (mak cik)!!!)”ujarku meyakinkan beliau bahawa sebutannya adalah betul walaupun dengan penuh kepayahan dan segan-segan.

Pengajian al-Quran berjalan seperti biasa dan nampaknya mereka semakin selesa dengan kelas pengajian al-Quranku. Adalah sedikit perkembangan positif yang kulihat dalam kalangan mereka dan aku cukup berbangga dengan kesungguhan mereka.

Tiga minggu telah berlalu sejak peristiwa kalimah “alladzi” tempoh hari. Aku telah hampir lupa peristiwa itu. Empat mak cik yang setia ini menungguku dengan tekun selepas selesai solat ‘Isyak.

Sebaik aku melabuhkan punggungku ke lantai, mak cik yang agak pendiam dulu tu bergegas mendapatkanku seraya berkata, “ustad, bolehkah sik, kamek nak coba sekali lagik sebutan hughuf kamek tok? (Ustaz, boleh ke tidak, saya nak cuba sekali lagi sebutan huruf saya ni?)”.

“Sebutan yang mana satu?,” aku cuba mendapatkan kepastian. “Huruf Dzal,” pintasnya dengan segera.

“Ha…. Cobalah… biagh kamek dengagh..”balasku dengan loghat pekat Sarawak.

alladzi….alladzi…..betulkah sik?”, ulangnya yakin dengan wajah yang ceria sambil melerekkan sebaris giginya yang putih berseri.

“al-Hamdulillah….. kamek nangga gigi kitak!!!”(Saya nampak gigi mak cik), bingkas balasku sambil tersenyum melihat keceriaan yang tergambar di wajah yang dulunya agak pendiam.

“Gigi baru, motivasi baru.” Bisik hatiku melihat perubahan mendadak Mak Cik Gigi Palsuku ini.

“Dolok, mak cik pikigh… gigi tok untuq melawa ajak… ustad… untuq sedap makan ajak. Ghopa-ghopanya nak ngajipun kenak pake gigi,”(Dulu, mak cik ingat gigi untuk cantik dan nak sedap makan sahaja, Ustaz. Rupa-rupanya nak mengajipun perlu ada gigi), ulas beliau panjang lebar. Aku menyantuni beliau dengan semangat baru beliau itu.

Aku amat menghargai Mak Cik Gigi Palsuku dengan semangat tinggi yang beliau tunjukkan untuk belajar al-Quran dalam usia selanjut itu. Rupa-rupanya sehari selepas peristiwa kalimah “alladzi”itu, beliau terus ke klinik gigi demi mendapatkan sebutan al-Quran yang betul dan tepat.

Hakikatnya Mak Cik Gigi Palsuku bukan sahaja mampu membetulkan sebutan makhraj huruf, malah telah merubah penampilan beliau sebagai seorang yang ceria, berkeyakinan tinggi dan bermotivasi. 

Alhamdulillah, tak sangka kalimah “alladzi” berjaya membangkit sanubari halus seorang Mak Cik Gigi Palsu.

Oleh: Haji Wan Jamaludin Wan Bidin