Sunday, February 16, 2014

Budak Catur

Tahun kedua aku di sekolah X di Sarawak memberi cabaran baru kepadaku. Di samping dilantik sebagai Ketua Panitia Pendidikan Islam dan sudah tentu guru penasihat Persatuan Agama Islam, aku turut diminta membimbing beberapa persatuan dan kelab.

Aku bukanlah pandai sangat dalam permainan catur. Pernahlah aku bermain sukan ini semasa di universiti dan semasa aku praktikal di sebuah sekolah di Kajang. Masa aku kecil dulupun pernah jugak bermain permainan ini di kampung. Itulah serba sedikit pengetahuanku dalam catur. Didorong minat dan inginkan cabaran baru, aku memilih untuk menjadi guru penasihat kelab sukan ini. Cabaran baru bagiku kerana akulah satu-satunya bangsa Melayu dalam kelab tersebut.

Minggu pertama pertemuan kelab ini, aku hanya memerhati mereka bermain dan tak mahu lagi menunjukkan kebolehanku. Manalah tau dalam diam ada wakil Sarawak di sekolah aku ini. Aku perlu memahami suasana. Hasil perbualanku dengan beberapa orang ahli kelab, setakat ini belum ada yang berjaya mewakili Sarawak ke Peringkat Kebangsaan. Paling tinggi hingga ke peringkat negeri Sarawak sahaja.

Sebagai penutup perjumpaan minggu itu, aku memberikan ransangan dan motivasi kepada mereka. Kami berazam akan mensasarkan seorang ahli kelab mesti akhirnya berjaya mewakili Sarawak. Kalau tidakpun pada tahun ini, sekurang-kurangnya sasaran kami pada tahun hadapan.

“Kita harus mengatur strategi”, tegasku kepada semua ahli kelab pada petang itu. Ucapan semangat aku pada petang itu diiringi tepukan gemuruh ahli kelab terutama King Sie Yieng yang telah menjadi “sahabatku” selepas peristiwa Nasi Lemak dan Sirap Ais tahun lepas.

Setiap petang Rabu kami berkumpul. Minggu itu aku bermain dengan King berdua. Ahli kelab sibuk dengan papan catur masing-masing. Tidak ada seorangpun ahli kelab yang memerhatikan kami bermain. Maklumlah, siapalah aku bagi mereka. Seorang Ustaz yang belum mereka kenali.

Seluruh ahli kelab terkejut apabila tiba-tiba King Sie Yieng terlompat setelah buah “Queen”nya berjaya aku perangkap dan tidak mungkin dapat diselamatkan. 

“Ayyo.!!!”, jeritnya.  Ketika itu barulah ahli kelab lain mengerumuni kami berdua. Suasana riuh di belakang King dan di belakangku dengan bahasa yang tidak aku fahami. Aku tersengih riang sambil menumbuk tapak tangan kiriku tanda kegirangan. Kemenangan pasti di pihakku jika aku tidak melakukan kesilapan selepas ini.

Akhirnya King mengaku kalah setelah kedudukan buah caturnya tidak dapat dipertahankan lagi. Sebagai tanda hormat, dia berdiri, menggenggam tangan kiri dan melekapkannya ke tapak tangan kanan serta merapatkan kedua-dua tangan itu ke dadanya umpama pahlawan cina yang tewas dalam pertarungan perang. Sambil menundukkan kepalanya dia berkata, “Sifu…., Sifu….., Sifu…….”.Aku terharu dengan penghormatan itu dan dengan bangganya memegang bahunya sambil mendudukkannya semula ke kerusi.

Kami meneruskan permainan di papan kedua dan ketiga pada petang itu. Nampaknya nasib masih menyebelahiku sekalipun di belakangnya ada beberapa ahli kelab yang turut menyokongnya seolah satu kumpulan bersekutu. Aku tidak perlu membanggakan diri. Harapanku cuma satu. Semoga aku menjadi inspirasi kepada mereka mencapai cita-cita kami untuk menghantar wakil ke peringkat Kebangsaan satu hari nanti.

Pertandingan Catur Peringkat Negeri Sarawak telah berakhir pada bulan April tahun itu. Walaupun tiga orang pemain harapanku termasuk King Sie Yieng mendapat tempat hingga ke pusingan ketiga, namun masih belum mampu menandingi kehebatan peserta lain untuk terpilih ke Peringkat Kebangsaan. Namun aku berbangga dengan kesungguhan mereka berlatih hari demi hari. Peluang masih ada kerana mereka baru di Tingkatan 3. Aku meyakinkan mereka bahawa mereka berpotensi untuk menang di tahun hadapan. Dorongan semangat yang aku suntikkan itu menjadikan mereka lebih bersemangat dan gigih berlatih.

Kalau tidak silap aku, masa tu adalah pertengahan bulan Ogos. Perjumpaan berjalan seperti biasa. Kelibat King tidak kelihatan petang itu. Sambil bermain dengan Ong Chiet Yun, aku bertanya kepadanya ke mana menghilangnya King petang ni. Chiet Yun memaklumkan yang King dilihat menuju ke Perpustakaan Desa di bandar. Tapi, Perpustakaan Desa ditutup untuk proses perpindahan ke perpustakaan baru yang dibina tidak jauh daripada sekolah kami. Jarak Perpustakaan Desa ke sekolah kami tidaklah sampai satu kilometer.

“Selamat petang, Cikgu Ustas”, sapa King yang muncul di muka pintu selepas hampir sejam menghilangkan diri. “Saya ada buku catur. Baru jumpa cikgu. Bagus punya. Kita boleh train dia punya opening, Cikgu. Banyakkkk!!!” usulnya.

Aku kagum dengan usaha beliau untuk menjadi pemain catur yang hebat. Dengan membelek buku setebal hampir satu inci setengah itu, aku terus memujinya, “Bagus buku ni. Kita boleh gunakannya untuk latihan opening  kita mulai hari ini. Tapi, dari mana kamu dapat buku ini?”

Dengan selamba dia membalas pertanyaanku “Saya curi dari Perpustakaan Desa. Tak pa Cikgu Ustas… Dia sudah mau tutup….. Mau pindah ke perpustakaan baru bulan depan”. Aku menggelengkan kepala dan berbisik di hatiku “Memang betullah kaki catur budak ni”.

Dalam senyum dan dengan nada yang merendah, aku berpesan kepadanya “King, pulangkan semula buku ini atau kita jumpa pustakawan untuk kita pinjam betul-betul. Usaha yang baik mesti melalui kerja yang baik dan betul”. Nasihatku kepadanya. Dia tidak akan faham kalau aku bercerita tentang berkat, dosa, pahala dan sebagainya. Dia terdiam dengan nasihatku namun akur dengan pandangan ikhlasku tadi.

Keesokan harinya dia memberikan kepadaku sesalinan fotokopi buku catur semalam dan memaklumkan kepadaku bahawa buku itu telah dipulangkan kembali ke Perpustakaan Desa. Aku memuji tindakannya dan mengucapkan terima kasih atas pemberian fotokopi buku catur berkenaan. Aku turut  rasa berbangga atas tindakannya. Aku tak kisahlah sama ada tindakannya memulangkan buku itu kerana memang atas kesedaran dan rasa bersalahnya, atau kerana aku dan kerana rasa hormatnya kepadaku. Sekurang-kurangnya, nasihatku dan didikanku kepadanya selama ini nampaknya telah membuahkan hasil.

Dari minggu ke bulan, sedar tak sedar kami sudah hampir ke bulan November dan PMR telah berakhir. Ini bermakna dia dapat memberikan sepenuh tenaga dan tumpuannya memikirkan idea untuk memahirkan diri dalam permainan catur dan yang lebih penting untuk menewaskanku. Hampir setiap hari mereka bermain catur. Setiap kali aku melintasi kelas mereka, mereka di papan catur. Mengadap papan catur sambil membelek beberapa buah buku catur. “Hai… Budak Catur betul…” getus hatiku.

Dua minggu terakhir sebelum cuti sekolah, kami masih mengadakan pertemuan. Aku hendak ke Sibu atas satu urusan, namun King minta untuk bermain denganku walaupun untuk satu papan. “Janji, satu papan sahaja tau…. Nanti Mem saya marah..”, ujarku melayan kehendaknya. Nampaknya King Sie Yieng bersungguh-sungguh pada petang itu untuk menewaskan aku kali ini. Dia memang nampak cukup bersedia. Siap dengan kain merah yang dililitkan ke kepalanya.

Aku nampak pergerakan buah caturnya kali ini agak berbeza. Banyak kali aku hampir terperangkap dengan gerakan cantiknya. Aku banyak bertahan atas serangannya yang bertubi-tubi. Rakan-rakannya yang lain seperti biasa mengelilingi kami terutama di belakangnya memberikan sokongan. Aku nampak beberapa orang rakan King menumbuk-numbuk tapak tangan masing-masing. Mereka menaruh harapan agar King dapat menewaskanku. Memang bersungguh-sungguh betul. King semakin tersengeh lebar sambil mengangguk-anggukkan kepalanya dan sesekali mengurut-urut kain pengikat merah di kepalanya. Hingar bingar di belakang King masih menjadi-jadi. Aku tidak menghiraukan mereka kerana sememangnya aku tidak memahami apa yang mereka tuturkan dan aku masih cuba bertahan.

Dalam situasi tegang tersebut…. Zup… peluang terbuka untuk aku mematahkan serangan ganas itu lalu diikuti jeritan King sambil menghampaskan kedua tangannya ke meja sebelah. “Hayya..!!!!, rugi!.. rugi!… rugi…!!!” luahnya sambil menggeleng-gelengkan kepala. Aku ketawa melihat situasi itu dan menyapu mukaku beberapa kali. Aku menghulurkan tangan untuk menawarkan kedudukan seri. Dia menyambut tanganku walau pada mulanya berhasrat untuk meneruskan permainan kami hingga ke titisan yang terakhir. “Kamu tak akan menang”, tingkahku mengulangi tawaran. Akhirnya dia akur.

Aku ketawa lagi dan diikuti oleh rakannya yang lain. Kami ketawa beramai-ramai meraikan situasi itu. “Kamu bakal juara”, isytiharku kepadanya dan meninggalkan mereka untuk ke Sibu dengan rasa puas.

Selepas pertemuan itu, permainan kami hanya berkesudahan seri. Permainan King Sie Yieng semakin mantap dan dia amat gembira. Cuti Akhir tahun memisahkan kami.

Aku akui permainan King Sie Yieng semakin hebat. Dua bulan telah berlalu di tahun baru, namun aku belum dapat menewaskannya lagi. Walaupun aku akhirnya terpaksa akur dengan kemenangannya sesekali ke atasku, namun aku puas kerana berjaya menghasilkan seorang bakal juara yang aku idam-idamkan.

Telahanku terbukti apabila buat pertama kalinya dalam sejarah sekolah kami, King Sie Yieng muncul di tempat kedua Pertandingan Catur Peringkat Negeri Sarawak di tahun itu dan berjaya terpilih ke Peringkat Kebangsaan. Di tahun berikutnya beliau muncul juara di Peringkat Negeri diiringi sahabat karibnya Ong Chiet Yun di tempat ketiga. Aku cukup bangga dengan kejayaan mereka. Mereka menyantuni aku dan memelukku erat apabila diisytiharkan sebagai pemenang dan terpilih ke Peringkat Kebangsaan.

Setelah aku kembali ke Semenanjung, aku mendapat berita yang King Sie Yieng telah berjaya melanjutkan pelajarannya ke New Zealand dalam bidang Kejuruteraan. Itulah berita terakhir yang kuterima mengenainya. Aku tidak sangka Budak Catur aku ini akhirnya menemui jalan hidupnya yang sebenar, menjadi warga yang sedar dan dahagakan kejayaan dalam kehidupan.


Kita boleh memupuk disiplin murid untuk diaplikasikan ke dalam kehidupan mereka melalui keghairahan mereka terhadap sesuatu. Itulah nilai yang kutanam dan dibuktikan oleh Budak Catur bimbinganku. Apa yang penting, kesempatan serta kesungguhan kita untuk mencari peluang dan ruang yang sesuai bagi meruntun jiwa halus mereka. Walaupun aku sedar kejayaannya itu bukanlah hasil usaha aku seorang.

Oleh: Haji Wan Jamaludin Wan Bidin